Tuhan, Dunia Ini Sakit

Hijau lagi di kepala ini
Tatkala berlari merentas kuning padi
Jemari kaki yang mungil dan naif
Belum tahu apa itu dewasa

Segar lagi di benak ini
Ketika hari pertama memegang pensel
Mengadap rentangan papan tulis
Debu-debu memutih di celahan lantai

Semuanya nampak serba baru
Segalanya masih aku belum tahu
Namun di situlah nafsu aku tertuju

Bila usia menginjak dewasa
Sering kuteguk air liur sendiri
Melihat bumi di cermin satu lagi

Kaget

Tidak tahu mana asal punca
Kerana jauh tersudut suatu perasaan
Cuba menutup hijab yang enggan terima
Kekalutan apakah ini?

Mata diheret seribu persoalan
Hati dihenyak sejuta kemarahan
Ada ketika akal bertangisan
Keriuhan semacam ini, aku tidak mahu

Di situlah aku mula mendidik diri mengenal dirimu
Memupuk seulas cahaya bernama harapan
Kerana ku sendiri sedang bertapak di hamparan yang uzur
Menanti hari menunggu jahanam

Tuhan, dunia ini sudah tua
Tuhan, dunia ini sudah bangka

Tuhan, dunia ini sakit...

Image's credit : Stockholme Syndrome

Text

Kesemua hasil tulisan di dalam blog ini sama ada yang terlahir dari untaian kata penulis sendiri mahupun yang terambil dari konteks sumber lain hanyalah sisipan kecil duniawi yang sementara. Sekadar suatu bentuk luahan mahupun ingatan buat diri penulis mahupun yang membaca.
Dikuasakan oleh Blogger.

Copyright © / AbidNanBeruzlah

Template by : Urang-kurai / powered by :blogger